suria

Polis Kedah Rampas 28.8kg Dadah Bernilai RM6.3 Juta

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas 28.8 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM6.3 juta di Km 36.1 Lebuhraya Utara-Selatan, di Kepala Batas, Jitra pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata rampasan itu adalah yang terbesar bagi polis Kedah dalam tempoh lima tahun, dan dadah terbabit dipercayai hendak dibawa ke Kuala Lumpur.

Rampasan itu susulan pemeriksaan ke atas sebuah kereta dipandu seorang lelaki, yang ditahan unit polis peronda lebuh raya di Km 22 lebuh raya berkenaan, berhampiran Kampung Natoi, Jitra, pada pukul 11.30 pagi.

"Anggota polis memeriksa kad pengenalan dan lesen memandu suspek. Selepas diminta untuk membuka ruang penyimpanan barang kereta, suspek masuk ke dalam kereta dan melarikan diri (sejauh 14 km) sebelum memberhentikan kereta di Km 36.1 Lebuhraya Utara Selatan selepas merempuh penghadang tol," katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Menurutnya lelaki itu kemudian melarikan diri ke kawasan kampung berhampiran dan pemeriksaan polis ke atas kereta yang ditinggalkannya menemukan dua buah beg, masing-masing mengandungi 14 ketulan dadah jenis syabu. - BERNAMA

Artikel Lain