suria

Peragut Gagal Larikan Dompet Jurujual

KUANTAN: Tindakan pantas beberapa orang awam berjaya memberkas seorang lelaki yang meragut dompet seorang jurujual di Jalan Pak Sako di bandar Temerloh pada Selasa.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, suspek yang berumur 30 tahun meragut wanita tersebut yang berusia 19 tahun yang sedang berjalan ke sebuah restoran untuk makan.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud, orang awam yang mendengar jeritan mangsa bertindak mengejar suspek kira-kira 200 meter sebelum berjaya memberkasnya.

"Lelaki yang memakai topi keledar itu datang dari arah belakang dan meragut dompet di tangan kanan mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Dompet yang berisi RM150 itu ditemui pada suspek yang berasal dari Kuala Krau itu.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan polis percaya dia melakukan jenayah terbabit bersama seorang lagi rakan yang melarikan diri dengan motosikal, katanya.

Mohd Haris berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Lain