suria

MPN Tubuh Kumpulan Bantu Program Penyatuan Nasional

KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) telah mewujudkan satu kumpulan kerja bagi membantu program penyatuan nasional yang dilaksanakan kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid berkata kumpulan tersebut akan fokus kepada tiga perkara utama - mengkaji setiap kumpulan kaum dan memahami kehendak mereka, memperkukuh hubungan kaum dan menyediakan input untuk membantu dalam mencapai penyatuan nasional.

"Untuk mencapai sasaran ini, MPN akan bekerjasama dengan pakar akademik di institusi awam dan swasta selain menyediakan ruang untuk berdialog.

"MPN juga akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kadar celik politik menerusi program penyelidikan dan dialog dengan kumpualan seperti Generasi Y dan golongan profesional," katanya pada sidang media.

Mengulas mengenai penggabungan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Dr Zakri berkata, langkah tersebut adalah wajar dalam meletakkan tumpuan kepada pembangunan modal insan dari peringkat awal pendidikan sejajar dengan wawasan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Bagi saya ia langkah yang bagus. Kita boleh melihat kesinambungan dan kestabilan dalam proses pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat tinggi.

"Proses penyatuan merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan oleh kumpulan akademik," kata Zakri yang juga penasihat Sains kepada Perdana Menteri.

Artikel Lain