suria

Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Rokok

BATU PAHAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan satu sindiket menyeludup rokok bernilai RM516,680 ke utara apabila menahan sebuah lori 12 tan di Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Melaka Sabtu lepas.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Ramli Johari berkata, seorang lelaki berusia 48 tahun yang memandu lori tersebut ditahan dalam kejadian 12.15 tengah hari itu dan direman selama 10 hari bermula kelmarin.

Beliau berkata, sindiket itu yang berpangkalan di Johor Baharu dipercayai menggunakan lori yang berpenutup penuh bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.

"JKDM daerah Batu Pahat berjaya menghidu taktik yang digunakan dan bertindak mengejar lori terbabit sehingga Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu. Lori itu didapati membawa muatan 5.76 juta batang rokok putih dan rokok kretek seberat 9,000 kilogram ditaksirkan bernilai RM516,680 dengan nilai cukai RM2.92 juta.

Katanya, kejayaan itu hasil risikan pihaknya selepas mendapat maklumat awam dengan meneliti profil sindiket dimiliki jabatan itu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967. BERNAMA

Artikel Lain