suria

Exco Perak Dijangka Angkat Sumpah Jawatan Sabtu Ini - MB

IPOH: Anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco)Perak dijangka mengangkat sumpah jawatan Sabtu ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata jumlah Exco kali ini lebih besar berbanding penggal dahulu iaitu enam orang, serta akan menggandingkan muka baharu dan lama.

Untuk menjaga kepentingan masyarakat India di Perak, dua orang mewakili kaum itu akan dilantik, masing-masing sebagai penasihat kepada menteri besar dan pegawai khas menteri besar, katanya kepada pemberita selepas meraikan warga media, di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini malam Rabu.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata kerajaan negeri juga tetap memperuntukkan tempat untuk wakil MCA dalam barisan Exco yang akan diisi sebaik sahaja parti itu menyelesaikan masalahnya.

Katanya beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan rakan komponen B Nsebelum melantik calon yang sesuai bagi mewakili masyarakat Cina di Perak.

Datuk Dr Mah Hang Soong daripada MCA merupakan satu-satunya anggota dewan undangan negeri bukan Melayu BN.

Beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Chenderiang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas.

Pakar jantung itu juga adalah bekas anggota Exco kerajaan negeri pada penggal lepas, mempengerusikan Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri.

Pada PRU-13, BN Perak membentuk kerajaan dengan majoriti mudah setelah menguasai 31 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Daripada 31 itu, Umno menang 30 kerusi, manakala baki dimenangi MCA. - BERNAMA

Artikel Lain