suria

PM Umum Barisan Kabinet Yang Lebih Kecil

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan barisan Kabinet yang lebih kecil dengan pengurangan kementerian daripada 24 kepada 23 kementerian.

Beliau turut mengurangkan jumlah timbalan menteri kepada 11 orang dengan menggabungkan hampir 60 peratus muka baru dengan calon lama.

Antara muka baru yang tersenarai ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Ledang, Ham Samuri dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Wakil rakyat senior Barisan Nasional yang turut tersenarai ialah Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik sebagai Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar.

Bukan itu sahaja Perdana Menteri turut melantik Pengerusi Hindraf sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Transparent Malaysia, Datuk Dr Paul Low Seng Kwan serta Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Wahid Omar.

Antara muka lama yang dikekalkan Datuk Seri Hishammuddin yang bertukar portfolio daripada Kementerian Dalam Negeri ke Kementerian Pertahanan sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Pertahanan kini dilantik mengetuai Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan juga turut bertukar daripada Timbalan Menteri di Jabatan Menteri ke Timbalan Menteri Kewangan.

Selain itu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz turut bertukar portfolio daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Menteri Pelancongan.

Ahli Parlimen Petra Jaya yang sebelum ini memegang portfolio Timbalan Menteri Sains dan Teknologi kini mengetuai Kementerian Kerja Raya, Datuk Hasan Malek pula dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan.

Artikel Lain