suria

KWSP Kemuka Nama 584 Pengarah Gagal Lunaskan Tunggakan Caruman Kepada Jab. Imigresen

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengemukakan nama 584 pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara sebelum melunaskan tunggakan caruman masing-masing terlebih dahulu.

Di bawah Akta KWSP 1991, kesemua majikan diwajibkan membayar caruman bulanan berkanun untuk pekerja mereka sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.

Pengurus Besar Perhubungan Awam Nik Affendi Jaafar berkata: "KWSP ingin mengingatkan semua majikan yang kegagalan mereka membayar caruman bulanan bagi pihak pekerja mereka adalah satu kesalahan yang serius.

"KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak mencarum dengan menggunakan setiap kaedah yang diizinkan undang-undang termasuk tindakan jenayah dan sivil."

Pada suku tahun yang sama, KWSP berkata 175 majikan tidak mencarum telah didenda sebanyak RM242,500 oleh mahkamah di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991.

Sebanyak 296 saman sivil telah difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat manakala 759 kes jenayah telah difailkan terhadap majikan yang tidak membayar caruman bulanan KWSP pekerja mereka. -BERNAMA

Artikel Lain