suria

Speaker DUN P.Pinang Belum Diputuskan - Lim

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih belum memutuskan Speaker baru dewan undangan negeri, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng, Selasa.

"Kita boleh putuskan (pemilihan speaker) pada mesyuarat exco negeri akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan tengah hari bersama barisan exco baru di sini.

Ditanya mengenai kenyataan Datuk Mansor Othman (PKR) mengenai bekas exco negeri Law Choo Kiang dari PKR dijangka dilantik Speaker baru, Lim berkata: "Kita buat kenyataan bila masanya sesuai".

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan negeri ingin mengundang pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ke satu forum di sini Khamis ini membincangkan pilihan raya umum ke-13.

Forum akan berlangsung di Dewan Tunku Komtar pada 8.30 malam.

Lim berkata Timbalan Ketua Menteri I (Mohd Rashid Hasnon) akan menulis surat undangan kepada Abdul Aziz.

"Kita minta pengerusi SPR datang untuk jawab perkara yang dibangkitkan berhubung pilihan raya umum itu," katanya.

Lim juga meminta anggota exco negeri dan ketua-ketua jabatan menyediakan kenyataan bertulis untuk media mengenai isu-isu kontroversial supaya ia tidak disalah tafsir. - BERNAMA

Artikel Lain