suria

Polis Maut Dilanggar Motosikal Di Sekatan Jalan Raya di Kulim-Hi Tech Park

KULIM: Seorang anggota polis meninggal dunia di Hospital Kulim di sini pagi ini setelah mengalami cedera parah dilanggar sebuah motosikal dalam sekatan jalan raya pagi Isnin.

Allahyarham Koperal Yusri Mansor, 48, dari Balai Polis Kulim Hi-Tech, menerima rawatan di Hospital Kulim setelah dilanggar motosikal ditunggang seorang remaja yang cuba mengelak sekatan jalan raya di Km8, Jalan Kulim-Mahang, berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech Park di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata Yusri, yang ketika kejadian sedang bertugas bersama empat anggota lain, dikatakan dilanggar ketika cuba menahan seorang remaja yang menunggang laju sebuah motosikal kira-kira 10.45 pagi Isnin.

"Akibat pelanggaran tersebut Yusri patah paha kanan dan cedera parah di bahagian muka dan kepala lalu dikejarkan untuk rawatan di Hospital Kulim dan meninggal dunia pukul 8.15 pagi tadi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Rabu.

Katanya remaja berusia 18 tahun itu yang bekerja di sebuah pasar raya besar di sini, juga cedera parah iaitu patah tangan kiri serta cedera di bahagian kepala, sedang dirawat di hospital sama.

Ghuzlan menasihati pemandu kereta dan motosikal supaya mematuhi arahan polis bila melalui sekatan jalan raya kerana kesalahan yang dilakukan mereka mungkin tidaklah begitu serius tetapi apabila apabila cuba mengelak ditahan, boleh menyebabkan nyawa melayang.

Katanya remaja itu didapati melakukan kesalahan tidak mempamerkan cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh. -BERNAMA

Artikel Lain