suria

Lelaki Warga Emas Didenda Kerana Tumbuk Ketua Pusat Mengundi, Buat Laporan Palsu

SIBU: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM2,000 atau tiga bulan penjara terhadap seorang lelaki warga emas kerana menumbuk seorang ketua pusat mengundi dan membuat laporan polis palsu.

Malcolm Maing, 65, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu di hadapan hakim Zubaidah Sharkawi.

Dia melakukan kesalahan itu pada 7.45 pagi 5 Mei ketika berlangsungnya pilihan raya umum ke-13.

Pesara kerajaan dari Rh. Ranggau di Sungai Assan dekat sini itu didakwa mengikut Seksyen 329 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 182 akta yang sama kerana membuat laporan palsu kepada polis.

Pegawai penyiasat kes itu Inspektor Mohd Fazirul Mohd Fisol memberitahu mahkamah bahawa pada hari kejadian, Malcolm mendengar orang ramai berkata Petrus Amping, ketua pusat mengundi di SK Nanga Assan, meminta pemilih di situ supaya tidak mengundi Barisan Nasional (BN).

Malcolm kemudian bersemuka dengan Petrus untuk memintanya memberi penjelasan tentang perkara itu.

Mohd Fazirul berkata Petrus menyatakan Malcolm merempuh serta menyikunya di bahagian abdomen dan apabila dia (Petrus) menolak lelaki itu, dia ditumbuk pula di pipi kanan.

Pegawai itu berkata Petrus tidak mengambil kisah tentang kejadian itu dan meneruskan tugasnya sebagai ketua pusat mengundi.

Bagaimanapun, katanya, Petrus terkejut apabila mendapat tahu Malcolm membuat laporan yang bertentangan dengan kejadian sebenar di Balai Polis Jalan Ulu Lanang.

Tujuh saksi, termasuk dua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lima anggota polis yang bertugas di SK Nanga Assan, memberi keterangan yang menyokong keterangan Petrus tentang kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain