suria

Lelaki Didakwa Kerana Lekat Sepanduk BN di Kawasan Rumah Iskandar Malaysia

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini Selasa kerana melekatkan sepanduk Barisan Nasional di kawasan Rumah Iskandar Malaysia bulan lalu.

Abu Zar Abdullah, 41 didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Rumah Iskandar Malaysia yang merupakan harta awam pada pukul 3 petang, 23 April lalu ketika kempen pilihan raya umum ke-13.

Beliau memohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 15(2)(a) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda tidak lebih RM1,000.

Abu Zar yang memakai baju-T berwarna biru dengan lambang Barisan Nasional di depan dan belakang, ditawarkan jaminan sebanyak RM5,000 namun meminta untuk dikurangkan.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias mengenakan jaminan sebanyak RM1,500 dan menetapkan 29 Mei sebagai tarikh sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain