suria

Jangan Salahkan Dr Chua Sahaja - MCA P. Pinang

GEORGE TOWN: MCA Pulau Pinang meminta pihak yang berkenaan agar tidak menyalahkan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sepenuhnya atas prestasi buruk MCA pada pilihan raya umum ke-13 lepas.

Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun berkata sebaliknya semua pihak harus memikul tanggungjawab itu selain berpegang kepada keputusan parti untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan.

"...kami tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini dan kami tetap bertanggungjawab dan akan terus menjalankan tanggungjawab kami kepada kaum Cina di negeri ini," katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Loh berkata demikian sebagai menyokong kenyataan Dr Chua yang hanya akan berundur selepas selesai penyusunan semula parti selain bertegas MCA tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan.

Dr Chua juga dilapor tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini.

Menurut Loh, MCA Pulau Pinang juga mahu proses pemilihan parti yang bermula bulan depan berlangsung dalam suasana baik dan demokrasi.

Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tetap mahu wakil kaum Cina dalam kabinet, Loh berkata mereka menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan tertinggi MCA.

-BERNAMA

Artikel Lain