suria

Seorang Wakil MCA Anggotai Kabinet Johor

PETALING JAYA: Seorang wakil MCA akan dilantik menganggotai barisan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) Johor yang baharu pada Selasa.

Difahamkan pelantikan seorang wakil MCA dalam senarai Kabinet itu dibuat atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Selain itu menurut sumber, barisan Kabinet Johor yang baru itu juga akan dianggotai oleh tujuh wakil Umno dan seorang wakil MIC.

Bagaimanapun satu lagi kerusi exco yang sebelum ini diperuntukkan untuk wakil masyarakat Cina akan dikosongkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijadual akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-14 pada Selasa di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

Kesemua barisan Exco Johor akan turut mengangkat sumpah jawatan bersekali dengan Mohamed Khaled.

Difahamkan juga Mohamed Khaled akan mengadakan pertemuan dengan kakitangan kerajaan negeri pada pukul 3 petang Selasa.

Sebelum ini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyatakan pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan akibat pencapaian buruk parti itu pada pilihan raya umum kali ini.

Pendirian selaras dengan keputusan sebulat suara diluluskan pada EGM parti itu.

Pada PRU-13 MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain