suria

Kastam Tumpaskan Sindiket Seludup Minuman Keras

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan minuman keras apabila merampas pelbagai jenis minuman keras dalam botol dan tin bernilai RM366,586 termasuk cukai di sebuah rumah kedai di kawasan Bukit Mertajam pada Jumaat lepas.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu premis berkenaan pada pukul 4.35 petang dan menemui 42,144 tin dan 6,264 botol minuman keras.

"Dipercayai sindiket itu menjadikan rumah kedai berkenaan sebagai tempat menyimpan minuman keras yang diseludup sebelum diedarkan kepada pihak tertentu.

"Kita masih siasat minuman keras bernilai RM84,683 yang melibatkan nilai cukai sebanyak RM281,902 itu untuk pasaran tempatan atau dieksport semula negara lain," katanya pada sidang akhbar, di sini Isnin.

Katanya dalam serbuan itu, pihaknya juga berjaya menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing yang berusia lewat 20-an dan dipercayai pekerja di premis itu.

Zulkifli berkata, pasukannya juga merampas sebuah mesin yang digunakan untuk memadam label 'Malaysian Duty Not Paid (MDNP)' dan mencetak semula tarikh luput pada tin minuman keras.

"Mereka (sindiket) memadamkan label MDNP bagi mengelak dikesan pihak kastam yang minuman keras terbabit belum dibayar cukai, selain itu tindakan sindiket itu juga berbahaya kerana telah menukar tarikh luput dan ia akan memberi kesan kepada pengguna," katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak beberapa bulan lepas dan pasukan kastam sedang mengesan anggota kumpulan sindiket terbabit.

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang belum lulus kastam atau barang larangan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain