suria

Pemimpin Tertinggi Umno Sahut Saranan PM Supaya Bermuhasabah

KUALA LUMPUR: Saranan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mahu anggota parti bermuhasabah dan menginsafi diri dengan memperbetul segala kelemahan, mendapat reaksi yang pelbagai daripada kepimpinan tertinggi parti itu.

Rata-rata mereka yang ditemui sependapat bahawa bermuhasabah sambil melipatgandakan usaha dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat mampu mengembalikan sokongan serta merapatkan jurang yang timbul selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dakwaan bahawa Umno parti perkauman perlu dimuhasabah dan diperhalusi kerana yang jelas, parti tunjang dalam Barisan Nasional (BN) itu adalah payung harapan yang boleh mengekalkan perpaduan semua kaum di negara ini.

Beliau berkata anggota Umno tidak perlu melatah dengan pandangan negatif yang dilemparkan, sebaliknya terus bekerja keras dan amanah dalam menjaga kebajikan seluruh rakyat.

"Anggota Umno perlu insafi diri, jangan berlagak dan sombong, jangan selepas PRU13 kita jauhi rakyat. Apa yang perlu kita lakukan adalah terus amanah dan bertanggungjawab melaksanakan aku janji yang dibuat," katanya.

Rakan sejawat beliau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Umno perlu mencari faktor istimewa untuk menambah kekuatan parti selain mengekalkan semangat juang yang ada supaya terus menjadi pilihan rakyat Malaysia.

"Dengan bermuhasabah, kita mampu mencari kelainan supaya parti keramat orang Melayu ini kelihatan berbeza dengan parti lain, seterusnya kekal untuk terus mendapat kepercayaan rakyat," katanya.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata di sebalik muhasabah diri yang disaran, Umno berhak merai kemenangan parti malam ini kerana memenangi 88 kerusi Parlimen berbanding 79 pada pilihan raya 2008.

Bagaimanapun, bekas presiden Umno paling lama itu menyokong saranan Najib bahawa Umno perlu bermuhasah bagi memikirkan mengapa parti berkenaan sudah tidak sekuat dahulu dan tidak mendapat sokongan pihak tertentu.

"Pemimpin (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah kata dia hendak muhasabah. Kita semua kena tanya dan kaji kenapa ada perpecahan di kalangan orang Melayu.

Artikel Lain