suria

Umno Mampu Bawa Pelbagai Kejayaan Di Masa Akan Datang - Najib

KUALA LUMPUR: Umno mampu membawa pelbagai kejayaan yang lebih baik untuk Malaysia di masa akan datang menerusi sokongan berterusan daripada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bersempena ulang tahun Umno ke-67 pada Sabtu, Najib yang juga Presiden Umno berharap parti itu terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara di tahun-tahun akan datang.

Beliau juga bersyukur apabila Umno berjaya mengatasi prestasi Pilihan Raya Umum ke-12 dengan memenangi 88 kerusi Parlimen kali ini berbanding 79 kerusi pada 2008.

"Saya yakin, peningkatan sokongan ini memperlihatkan bahawa rakyat di seluruh negara menghargai setiap jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Umno selama ini," katanya dalam laman Facebook beliau pada Sabtu.

Najib berkata kedudukan Umno sebagai sebuah parti politik juga semakin kukuh.

"Insya-Allah bersama-sama kita akan berusaha memastikan Umno terus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Melayu dan setiap rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain