suria

Tiga Muka Baru Dilantik Anggotai Exco Terengganu

KUALA TERENGGANU: Tiga muka baharu mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Terengganu pada Sabtu.

Mereka ialah A.Latiff Awang (Pengkalan Berangan), Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Ajil), yang merupakan calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13.

A.Latiff, yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat berkata, "Saya akan bekerja bersama-sama di peringkat pegawai kerajaan bagi memenuhi agenda manifesto kerajaan pusat supaya rakyat negeri ini dapat merasai nikmat dan rahmat pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri dan pusat."

Roslee pula berkata pelantikan itu sememangnya tidak diduga kerana hanya beliau yang mewakili BN Dungun selepas tiga kerusi DUN dan Parlimen kawasan itu tewas ke tangan pembangkang pada PRU13 baru-baru ini.

Beliau dilantik exco Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi.

Ghazali yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas berkata beliau akan meneruskan kecemerlangan pendidikan selaras hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu.

"Kita akan berusaha untuk mengekalkan momentum dan memperkasa sektor pendidikan di negeri ini, dan akan mencari tokoh agama yang sesuai dalam panel penasihat nanti supaya dapat memastikan pembangunan seimbang di kalangan rakyat Terengganu," katanya.

Pada istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah pada Sabtu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengetuai majlis mengangkat sumpah barisan exco berkenaan.

Adun Kuala Berang, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu dilantik Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

"Insya-Allah, usaha untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang menerima pelaburan besar seperti dalam manifesto BN Terengganu akan dilaksana beserta 10,000 peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), yang dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula berkata beliau akan mengkaji semula sektor pelancongan di Terengganu.

"Bidang ini satu bidang baharu... sektor kedua terpenting di Terengganu, jadi, kita akan tubuhkan panel penasihat untuk memacu industri ini supaya negeri ini terus terkenal di seluruh dunia melalui pelancongan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain