suria

Sektor Pengajian Tinggi Malaysia Naik Sembilan Tangga Dalam Ranking U21

KUALA LUMPUR: Sektor pengajian tinggi Malaysia menduduki tangga ke-27 terbaik di dunia daripada 50 negara yang dinilai, dengan skor keseluruhannya mencapai 52.4 peratus.

Penilaian itu dibuat oleh Universitas 21 (U21), iaitu rangkaian universiti terkemuka dunia berintensifkan penyelidikan, berdasarkan kajian Institut Kajian Sosial dan Ekonomi Gunaan, Universiti Melbourne, Australia.

U21 membuat penilaian itu menerusi elemen sumber, persekitaran, jaringan dan hubungan antarabangsa dan keberhasilan, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan di sini Jumaat.

Tahun lepas, Malaysia menduduki tangga ke-36 terbaik dunia daripada 48 negara yang dinilai dengan skor keseluruhan 50.5 peratus.

KPT berpendapat ranking U21 bagi tahun ini membanggakan dan menunjukkan kerajaan amat komited dalam membangunkan sektor pengajian tinggi.

Malaysia turut disenarai pada kedudukan kedua terbaik di peringkat Asia Tenggara selepas Singapura, yang berada di kedudukan kesembilan dunia dengan skor keseluruhan 76.6 peratus.

Bagi kriteria sumber, yang melihat kepada perbelanjaan dalam sektor itu, Malaysia memperoleh skor 70.9 peratus, mengatasi Australia, Korea, Jepun, United Kingdom dan Jerman.

Bagi kriteria persekitaran, Malaysia memperoleh skor sebanyak 87.2 peratus mengatasi China, Kanada, Denmark, Jerman, Korea, Switzerland dan Chile manakala bagi kriteria keberhasilan, yang menilai hasil penyelidikan dan pengkomersilan, menyaksikan Malaysia mencatat 19.2 peratus.

Malaysia turut mencatat 40.4 peratus bagi kriteria jaringan dan hubungan antarabangsa, yang melihat kepada jumlah pelajar antarabangsa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dan penghasilan jurnal secara kerjasama dengan sarjana antarabangsa.

KPT berkata Pelan Tindakan Pemantauan Ranking U21 bagi 2014-2016 akan disediakan dengan melibatkan beberapa sesi bengkel di peringkat KPT, IPT, kolej komuniti dan politeknik.

Kementerian itu juga akan menubuhkan sekretariat khas untuk menjalin hubungan dan kerjasama dengan pasukan penyelidik U21 serta World Bank, Atlas Report, World Education Indicator, Unesco Institute of Statistic, OECD Report on Education yang menyediakan data berkenaan pengajian tinggi negara. - BERNAMA

Artikel Lain