suria

Tiada Permit Dikeluarkan Untuk Ceramah Pembangkang Di Ipoh Malam Tadi

IPOH: Polis Perak pada Jumaat mengesahkan bahawa tiada permit dikeluarkan untuk ceramah anjuran pembangkang yang turut dihadiri Penasihat DAP Lim Kit Siang di Dewan Chin Woo di sini malam Khamis.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam berkata polis tidak menerima sebarang notis daripada penganjur untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

"Tindakan ini menyalahi undang-undang. Polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Jumaat.

Polis turut menerima maklumat mengenai perhimpunan anjuran pembangkang yang akan diadakan Ahad ini, namun setakat ini tiada permohonan permit yang diterima, katanya.

Beliau berkata penganjur seharusnya memberi notis mengadakan pehimpunan kepada Ketua Polis Daerah sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan diadakan, selaras dengan peruntukan Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman.

Paramasivam berkata penganjur yang gagal mematuhi peratutan tersebut boleh didenda sehingga RM10,000 jika disabit kesalahan seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Awam.

Beliau menyeru orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan yang dirancang oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya ke-13, di bandaraya Ipoh.

"Sesiapa yang menyertai atau menjadi seorang daripada anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang, boleh diambil tindakan di bawah kanun keseksaan dan undang-undang yang berkaitan," katanya.

Katanya orang ramai juga jangan terpedaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengajak mereka untuk datang berkumpul.

"Orang ramai perlu berfikir secara rasional sebelum mengambil sebarang tindakan dan jangan bertindak mengikut emosi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain