suria

Sindiket 'Macau Scam' Di Kuching Tumpas

KUCHING: Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis dari Taiwan dan China berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian melibatkan perpindahan wang melebihi RM4 bilion dikenali sebagai 'Macau Scam' di sini, Khamis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kejayaan ini berikutan tertangkapnya 84 warga asing di dua buah rumah mewah di lokasi berasingan di bandar raya ini pagi ini.

"Di premis pertama, polis berjaya menahan 55 warga Taiwan terdiri daripada 31 lelaki dan 24 perempuan, serta seorang lelaki warga tempatan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya 29 orang lagi warga China terdiri daripada 16 lelaki dan 13 perempuan ditahan di premis kedua yang diserbu dalam operasi itu.

"Dalam operasi tersebut polis berjaya merampas 113 unit telefon, 11 unit komputer riba, dua unit komputer desktop, 11 peralatan bantuan internet seperti modem dan router, 12 unit telefon bimbit dan lain-lain alatan elektronik sokongan," katanya. Acryl Sani berkata hasil siasatan polis setakat ini mendapati anggota sindiket ini beroperasi dengan menyamar sebagai anggota polis, sama ada dari China atau Taiwan, dan memaklumkan kepada mangsa mereka yang akaun bank mangsa sedang disiasat bank pusat masing-masing dan mungkin akan dibekukan.

Katanya setelah berjaya menakutkan mangsa mereka, seorang lagi anggota sindiket ini akan menelefon mangsa dengan menyamar sebagai seorang pegawai bank pusat yang berkenaan dan mempengaruhi mangsa untuk memindahkan wangnya ke sebuah akaun sementara.

"Apabila duit itu dipindahkan ke akaun sementara itu, sindiket itu akan mengambil wang berkenaan," katanya.

Katanya sindiket ini dipercayai beroperasi di kedua-dua buah premis berkenaan sejak tiga bulan lepas dengan menggunakan teknologi Voice Over Internet Protocol (VoIP) yang membolehkan mereka membuat panggilan telefon dari sini ke China dan Taiwan seolah-olah panggilan itu dibuat secara tempatan di negara berkenaan.

Kesemua anggota sindiket yang ditahan ini akan diekstradisi ke negara masing-masing untuk menghadapi pendakwaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain