suria

MAS Nafi Angkut Pengundi Hantu

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) menyangkal dakwaan syarikat penerbangan itu mengangkut pengundi hantu dari Sabah dan Sarawak menggunakan pesawat miliknya ke Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata MAS sentiasa menjadi syarikat penerbangan berintegiriti dan tidak akan bertolak ansur dengan dakwaan tidak berasas tersebut.

"MAS mengendalikan penerbangan komersial untuk membawa pengundi pulang ke kampung halaman supaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi.

"Pesawat-pesawat tersebut berlepas dari Kuala Lumpur ke empat destinasi antaranya Kota Kinabalu, Sandakan, Kuching, Sibu di samping pengundi dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di akademinya di Kelana Jaya, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa berlaku peningkatan dalam jumlah penerbangan pesawat termasuk Boeing 747 dan sebuah pesawat tentera dari Kuching dan Kota Kinabalu ke lapangan terbang di Semenanjung Malaysia.

Pada satu sidang media sebelum ini, Anwar turut menunjukkan satu salinan emel yang mengandungi jadual penerbangan dan nama-nama penumpang yang didakwa sebagai pengundi hantu dengan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan kerajaan dan MAS dalam operasi tersebut.

Menurut Ahmad Jauhari, pada keseluruhannya MAS mengangkut 6,553 penumpang dengan 57 penerbangan antara 2 dan 4 Mei serta 6 hingga 8 Mei.

"Kesemua penumpang merupakan rakyat Malaysia yang menunjukkan kad pengenalan mereka semasa daftar masuk," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain