suria

Tempoh 21 Hari Untuk Fail Petisyen Selepas Keputusan PRU Diwartakan - Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA: Pihak yang mempertikai keputusan pilihan raya umum ke-13 boleh memfail petisyen dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan, menurut Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata Mahkamah Tinggi kemudian perlu menyelesaikan perbicaraan dalam tempoh enam bulan dari tarikh petisyen difailkan manakala rayuan di Mahkamah Persekutan juga harus diselesai dalam tempoh yang sama.

"Bagi pihak kami, kami akan menangani petisyen pilihan raya apabila ia difailkan," katanya pada sidang media di lobi Jabatan Peguam Negara pada Rabu.

Mengulas isu lain, beliau berkata terdapat beberapa laporan berhubung kejadian pengundi tidak dapat mengundi di beberapa tempat kerana dihalang pihak tertentu.

Tun Abdul Majid berkata Jabatan Peguam Negara juga menerima aduan berkaitan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang didakwa melakukan kesalahan ketika bertugas pada hari pengundian.

Beliau berkata semua aduan itu masih dalam siasatan polis.

"Kebanyakan laporan polis yang diterima adalah berkaitan dengan dakwat kekal yang mudah tertanggal bila dibasuh," katanya.

Tun Abdul Majid juga berkata terdapat laporan polis berhubung kes pemerhati sebuah parti politik diarah keluar oleh pegawai di tempat mengundi selama 30 minit selepas tamat tempoh mengundi dan sebelum pengiraan kertas undi. Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan bahawa dua individu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban esok atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di depan bilik gerakan sebuah parti politik di Sikamat, Seremban. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain