suria

SPR Bidas Pihak Enggan Terima Kekalahan Dalam PRU

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membidas pihak-pihak yang enggan menerima kekalahan pada pilihan raya ke-13 (PRU13), yang sebaliknya menyalahkan pihak lain dengan membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata pihak ini sengaja mencari kesalahan orang lain kerana enggan mengaku kekalahan, dan bagi mereka, pihak paling mudah untuk dijadikan 'scape goat' atau kambing hitam ialah SPR, dengan menimbulkan pelbagai persepsi bagi menjejaskan integriti, kredebiliti dan kecekapan badan itu.

Beliau memberi contoh tuduhan mengenai bekalan eletrik yang terputus semasa pengiraan undi dijalankan yang disebar banyak di laman-laman sosial, yang menurutnya selepas disiasat, perkara itu tidak pernah berlaku.

"Mereka nak nampakkan SPR ini tidak ada integriti, tidak 'credible', suka menipu, sehinggakan boleh buat putus bekalan (elektrik), tukar keputusan dalam gelap. Saya rasa cerita yang dibawa ini satu penipuan, pembohongan, dusta yang sangat melampau, sangat keji. Kalau orang Islam yang buat ini dia memang tidak takut dosa besar nampaknya. Sebab bila kita semak semua pihak, soal putus bekalan ini tidak pernah berlaku," katanya pada sidangan media di pejabatnya di sini pada Rabu.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak yang menyebar gambar kononnya pengiraan undi dibuat dalam gelap semasa berlaku putus bekalan elektrik, kerana menurutnya perkara itu tidak pernah berlaku, dan gambar itu mungkin dibuat menggunakan tipu helah kamera.

Abdul Aziz berkata persepsi merupakan mainan penting dalam politik, dan pihak yang kalah biasanya akan berusaha mencipta persepsi bahawa SPR ini satu badan yang tidak berwibawa, tidak berintegriti, sedangkan ia hanya bertanggungjawab menyediakan gelanggang, bukan menentukan siapa yang boleh menang atau kalah.

Beliau memberi contoh kenyataan seorang ahli politik yang secara terangan mendakwa kononnya SPR langsung tidak melaksanakan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, sedangkan menurutnya sebanyak 19 penambahbaikan diperkenalkan pada PRU13 berasaskan kepada cadangan jawatankuasa ini.

Katanya ia boleh dilihat dengan ketara seperti pengenalan dakwat kekal, tiada tempoh bantahan, calon tidak boleh berundur, undi awal, dan banyak lagi, namun persepsi SPR tidak membuat penambahbaikan tetap cuba dibangkitkan ahli politik itu semata-mata untuk menjejaskan integriti dan kredibilitinya.

Abdul Aziz berkata dakwat kekal diperkenalkan bagi mengelak pemilih mengundi lebih dari sekali, walaupun dalam sejarah negara ini tidak pernah dibuktikan ada orang yang mengundi lebih dari sekali, namun SPR tetap menerima cadangan penggunaan dakwat itu secara positif.

Bagaimanapun menurutnya ada pihak sebaliknya sengaja cuba menjejaskan integriti SPR, berusaha sedaya upaya dengan pelbagai cara untuk menghilangkan kesan dakwat itu, semata-mata untuk menimbulkan keraguan orang ramai.

Namun menurutnya SPR tetap akan menerima segala teguran, mengkaji segala laporan daripada pelbagai pihak berhubung penggunaan dakwat kekal itu dan akan berusaha menambah baik aspek penggunaan dakwat kekal itu pada pilihan raya akan datang.

Merujuk kepada tohmahan mengenai kewujudan pengundi hantu, Abdul Aziz berkata beliau merasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang terlalu bertindak mengikut emosi sehingga bukan sahaja menimbulkan kekecohan, malah beliau difahamkan ada juga pemilih yang dihalang dari menunaikan tanggungjawab mengundi, semata-mata kerana rupa parasnya tidak seperti rakyat tempatan.

Beliau berkata saringan utama paling penting dalam menentukan kesahihan pengundi adalah kad pengenalan, yang kemudiannya akan dibandingkan dengan daftar pemilih, dan hanya SPR dan polis sahaja yang berhak menahan seseorang untuk memeriksa kad pengenalannya.

"Saya diberitahu ada dua bas bawa orang asing nak ke kilang ditahan oleh kumpulan pemantau dari parti yang bertanding dengan kasar sekali, sudah tentu orang tu takut, lintang pukang lari, kerana emosi itulah jadinya," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain