suria

Saifuddin Tidak Akan Abai Pengundinya

TEMERLOH: Walaupun tewas kepada pembangkang di kerusi Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah tidak akan mengabaikan para pengundinya.

Sebaliknya, Saifuddin berkata beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat dan merampas kembali kerusi tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak kecewa dan jauh sekali memikirkan untuk meninggalkan arena politik.

"Malah, saya kini mencari platform baru untuk mendekati para pengundi.

"Saya akan menubuhkan sebuah akademi belia (salah satu dalam manifesto) untuk meneruskan agenda politik saya dengan berkhidmat kepada para pengundi," katanya pada satu sidang media di sini Khamis.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Saifuddin tewas kepada calon PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dengan majoriti undi 1,070.

Bagaimanapun, jumlah undi rosak adalah sebanyak 977 undi.

Menurut Saifuddin, memandangkan beliau bukan lagi Ahli Parlimen, beliau tidak dapat menubuhkan empat akademik seperti yang disenaraikan di dalam manifestonya kerana kekangan kewangan.

Beliau berkata, sebaik saja lokasi sesuai ditemui, beliau akan membuka pusat khidmat terbarunya dalam kawasan sama dengan akademi belia.

"Akademi tersebut akan menyediakan tiga orientasi utama merangkumi pendidikan dan latihan, penyelidikan dan penerbitan.

"Sasaran saya adalah untuk menjadikan Temerloh sebagai hab pendidikan terkemuka di Pahang," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata beliau akan menjemput Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya untuk melakukan kajian mengenai punca beliau tewas pada pilihan raya umum yang lalu.

"Saya ingin tahu faktor di sebalik kekalahan saya dan memandangkan pusat itu merupakan badan bebas, hasil kajian itu akan membantu saya untuk memperbaiki kelemahan diri," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain