suria

MCA Bincang Prestasi Parti Pada Mesyuarat Majlis Presiden Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: MCA akan mengadakan mesyuarat majlis presiden di sini Sabtu ini untuk membincangkan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas dan merangka langkah selanjutnya.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata anggota parti tidak seharusnya menggunakan keputusan pilihan raya untuk melancarkan serangan terhadap seseorang pemimpin memandangkan perbuatan itu akan merosakkan lagi imej dan kedudukan parti.

"Saya ingin menasihatkan anggota MCA bahawa dalam waktu yang mencabar ini, MCA perlu mengelak konflik dalaman, jangan sampai pembangkang menggunakan kesempatan ini untuk mereka-reka isu untuk terus menyerang MCA," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata buat sementara waktu, anggota parti perlu bertenang dan bersatu memandangkan parti kini mengharungi tempoh yang amat mencabar.

"Saya menggesa semua anggota MCA supaya terus tabah, cekal dan nantikan keputusan kepimpinan pusat MCA," katanya.

Prestasi MCA pada pilihan raya 5 Mei terus merudum apabila sekadar memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri, daripada sejumlah 127 kerusi yang ditandinginya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain