suria

Jagdeep, Ramasamy Antara 10 Ahli Exco Pulau Pinang Angkat Sumpah

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN: Buat pertama kalinya di Pulau Pinang, dua pemimpin India dilantik menjadi jawatankuasa eksekutif negeri itu.

Jagdeep Singh Deo, anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh menyertai Dr P. Ramasamy dalam senarai baru itu.

Mohd Rashid Hasnon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I yang baru manakala Dr Ramasamy dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

Jagdeep menggantikan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Wong Hon Wai.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Chong Eng dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti serta Seni.

Adun Seberang Jaya yang baru, Dr Afif Bahardin memegang portfolio pertanian dan industri asas tani, pembangunan luar bandar dan kesihatan.

Mereka antara 10 ahli exco yang menampilkan empat muka baru yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan Ketua Menteri Lim Guan Eng di Dewan Sri Pinang pada Khamis.

Selain itu lapan lagi anggota exco yang turut mengangkat sumpah ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dan Kesenian Chong Eng dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi) Lim Hock Seng.

Yang lain ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Law Heng Kiang, Pengerusi Jawatankuasa Kabajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr Afif Bahardin.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew.

Artikel Sebelum

Artikel Lain