suria

Bekas Timb. Presiden KOM Fail Saman Cabar Keputusan Penggantungannya

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim, yang digantung enam tahun berhubung isu enam atlet melarikan diri daripada ujian anti-doping, menfailkan saman terhadap badan induk itu bagi mencabar perintah penggantungannya.

Karim menfailkan saman pemula itu di Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada 1 April lepas melalui peguamnya Bernard Francis dan menamakan KOM sebagai defendan.

Dalam samannya, Karim antara lain memohon mahkamah membuat penentuan sama ada KOM mempunyai bidang kuasa untuk membuat perintah penggantungan itu walaupun beliau bukan anggota KOM mengikut Perlembagaan Terpinda dan Undang-Undang Kecil KOM bertarikh 25 Julai 2011.

Karim memohon mahkamah membuat penentuan sama ada Perlembagaan itu memperuntukkan kepada KOM membuat perintah itu yang menggantungnya selama enam tahun dari aktiviti olahraga tanpa sebarang rayuan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Karim, yang juga naib presiden Persatuan Olahraga Melaka, berkata sekiranya mahkamah mendapati persoalan tersebut berpihak kepadanya beliau antara lain memohon deklarasi bahawa beliau bukan anggota KOM. Justeru, beliau meminta mahkamah mengetepikan keputusan badan itu menggantungnya enam tahun selepas didapati bersalah dalam kes enam atlet itu pada 11 Okt tahun lepas.

Beliau juga memohon gantirugi am dan kos. Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam affidavit jawapannya mendakwa Karim adalah secara automatik anggota kepada KOM dan tertakluk kepada bidang kuasa dan kawalan badan induk itu.

Berikutan itu, katanya KOM mempunyai bidang kuasa untuk mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap anggota-anggotanya.

Kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Datuk Nor Bee Ariffin pada Khamis.

Peguam Adlan Hadi Mohamad Yusof yang mewakili KOM memberitahu media bahawa Nor Bee telah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk kes berkenaan.

Karim digantung oleh KOM selepas didapati bersalah bersubahat dalam kes enam atlet melarikan diri daripada ujian anti-doping pada 2011 dan keputusan itu dicapai oleh ahli majlis KOM selepas meneliti laporan siasatan kes berkenaan yang dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C George. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain