suria

Bekas Menteri Pengajian Tinggi Akan Angkat Sumpah Menteri Besar Johor Ke-14 Pada Khamis

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijadualkan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor pada pagi Khamis.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang ke-14.

Menteri Besar sebelum ini adalah Datuk Abdul Ghani Othman.

Ghani tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang disandangnya sejak tahun 1995 kerana berubah ke kerusi parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum yang baru sahaja selesai Ahad lalu.

Bagaimanapun beliau tewas di tangan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu mStar Online difahamkan yang Khaled telah pun menjalani raptai angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan di Istana Pasir Pelangi pada Rabu.

Khaled yang dilahirkan pada 30 November 1958 pertama kali bertanding pada pilihan raya umum 1995 di kerusi Parlimen Johor Baharu.

Beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai setiausaha politik kepada Tan Sri Shahrir Samad yang ketika itu adalah menteri Wilayah Persekutuan.

Khaled juga pernah memenangi kerusi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1995 dan kemudiannya sebagai ahli majlis kerja tertinggi Umno. Selepas berjaya mempertahankan kerusi parlimen Johor Baharu sekali lagi pada tahun 1999, Khaled telah berpindah ke kawasan parlimen baru Pasir Gudang apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat.

Di peringkat kabinet persekutuan, Khaled pernah menyandang jawatan timbalan menteri kerja raya di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas memenangi pilihan raya 2004 mewakili kawasan parlimen baru Pasir Gudang, Khaled telah dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi di bawah kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada pilihan raya 2008, beliau berjaya mempertahankan kerusi parlimen Pasir Gudang sekali lagi dan kemudian dilantik sebagai menteri pengajian tinggi yang baru.

Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah, Khaled terus dikekalkan di potfolio yang sama.

Pada pilihan raya yang baru sahaja selesai Ahad lalu, Khaled buat pertama kalinya diletakkan bertanding di kerusi dewan undangan negeri iaitu DUN Permas yang juga terletak di bawah parlimen Pasir Gudang.

Beliau menang menewaskan calon PAS, Syed Othman Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.

Artikel Lain