suria

Raja Nazrin Mahu Kerajaan Yang Diberi Mandat Terus Bangunkan Perak

KUALA KANGSAR: Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah mahu kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) berusaha untuk membangunkan Perak menjadi sebuah negeri yang sejahtera.

Baginda bertitah setiap calon yang dianugerahkan kejayaan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti.

Baginda menasihatkan semua pihak yang bertanding pada pilihan raya itu supaya memperlihatkan sikap saling bermaaf-maafan dan berusaha menyatukan rakyat bagi membina sebuah negara merdeka yang berdaulat makmur, aman lagi sejahtera.

"Sepanjang berkempen, pihak yang bertanding telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan untuk mendapatkan sokongan pengundi. Mungkin berlaku percakapan dan perbuatan yang telah menyinggung perasaan di antara satu sama lain. Pilihan raya telah pun selesai," titah baginda pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini, Selasa.

Raja Nazrin turut mengucapkan tahniah kepada semua calon daripada semua parti yang berjaya mendapat kepercayaan rakyat dan mereka diingatkan supaya tidak memandang ringan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

"Pada timbangan beta, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diperkenankan dilantik sebagai menteri besar Perak.

"Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Zambry yang telah diperkenankan untuk diberi amanah dan tanggungjawab sebagai menteri besar kepada kerajaan beta," titah baginda.

Raja Nazrin bersyukur PRU-13 berjalan dengan aman dan tenteram apabila rakyat telah memperlihatkan kematangan sehingga proses memilih kerajaan secara demokrasi dapat dilangsungkan. -BERNAMA

Artikel Lain