suria

MB Baru: BN Perlis Masih Tunggu Keputusan Najib

KANGAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata pihaknya masih menunggu keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelantikan menteri besar baru negeri itu.

"Setakat ini saya tak mahu nak sebut sama ada muka baharu atau muka lama. Tunggu sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Md Isa yang juga bekas Menteri Besar Perlis turut enggan menjawab mengenai beberapa nama yang dikatakan calon pilihan untuk meneraju pimpinan kerajaan negeri yang bakal dibentuk dalam masa terdekat.

BN Perlis menguasai 13 daripada 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-13 Ahad, sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan negeri.

BN Perlis juga berjaya mempertahankan kesemua tiga kerusi parlimen di negeri itu.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi menteri besar ialah Azlan Man yang memenangi kawasan DUN Pauh.

Azlan, 54, dikatakan orang paling layak kerana bekas Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam itu mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan hubungan antarabangsa.

Turut disebut-sebut ialah Datuk Mat Rawi Kassim (DUN Beseri), Sabry Ahmad (DUN Santan) dan Datuk Ismail Kasim (DUN Tambun Tulang).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pula berharap tiada campur tangan pihak lain dalam pemilihan menteri besar yang baru.

"Yang penting pemilihan dibuat mengikut hierarki parti," katanya yang menang di kerusi Parlimen Arau. - BERNAMA

Artikel Lain