suria

SPR: 84.84 Peratus Mengundi Pada PRU-13

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa 84.84 peratus atau 11,257,147 daripada jumlah 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Ahad.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata bagi 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah yang keluar mengundi ialah 9,742,254 orang atau 85.82 peratus.

Menurutnya berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan untuk PRU-13, daripada 13,268,002 pemilih berdaftar, pengundi biasa terdiri daripada 12,885,434 orang manakala pengundi pos (146,742) dan pengundi awal (235,826).

"Bagi kerusi Dewan Rakyat, BN memperolehi 5,237,699 undi, PKR (2,254,328 undi), PAS (1,633,389), DAP (1,736,267), Bebas (86,935), STAR (45,386), BERJASA (31,835), SWP (15,630), SAPP (10,099), PCM (2,129), KITA (623) dan BERSAMA (257).

"Bagi kerusi DUN pula, BN memperoleh 4,513,997 undi, PAS (2,133,944), DAP (1,442,298), PKR (1,303,457), Bebas (67,129), STAR (43,793), SAPP (31,324), PSM (8,136), BERJASA (4,756), KITA (1,791), BERSAMA (823) dan PCM (216)," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Kamaruddin berkata daripada 579 calon yang bertanding di keruswi Dewan Rakyat, 128 calon hilang wang deposit pilihan raya, dengan calon Bebas mencatatkan jumlah paling ramai, iaitu 75 orang.

Bagi keputusan 222 kerusi Dewan Rakyat, BN memenangi 133 kerusi, PKR (30), PAS (21) dan DAP (38), manakala bagi kerusi DUN, BN memperoleh 275 kerusi, DAP (95), PAS (86) dan PKR (49).

Beliau berkata secara keseluruhan SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang berjalan dengan lancar, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku yang menjejaskan proses pilihan raya.

"Dalam melaksanakan urusan pilihan raya, SPR sentiasa mengikut lunas undang-undang dan mencuba sedaya mana yang boleh untuk menjadikan PRU-13 sebagai yang terbaik, pelbagai cabaran yang tidak diduga terpaksa dihadapi," menurutnya.

Katanya SPR akan mengkaji segala kelemahan terutama mengenai kaedah untuk mengatasi kesesakan pengundi pada waktu pagi serta kehadiran warga emas yang di luar jangkaan dan beliau memberi jaminan bahawa SPR akan menambah baik segala kelemahan yang dikenal pasti. - BERNAMA

Artikel Lain