suria

Mohamad Hasan Syukur Rakyat Terus Beri Mandat Kepada BN Tadbir Negeri

SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bersyukur kerana Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir kerajaan negeri ini meskipun menerima banyak tohmahan daripada pembangkang sebelum ini.

Beliau berkata kemenangan BN di lima kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membolehkan kerajaan negeri untuk terus mentadbir dan meneruskan agenda mensejahterakan rakyat serta memakmurkan lagi negeri ini.

"Dalam dua hari terakhir (sebelum hari pengundian 5 Mei), pemimpin besar pembangkang datang dengan angkuhnya mengatakan negeri Sembilan dalam gengaman mereka. Ternyata apa yang mereka cakapkan itu meleset sama sekali. "Saya mengucapkan terima kepada rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk terus mentadbir negeri," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini Isnin.

Mohamad berkata kemenangan ini membolehkan kerajaan BN meneruskan agenda yang telah dirancang sebelum ini dan menunaikan janji kepada rakyat.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan kejayaan BN di negeri itu, Mohamad berkata: "Saya puas hati kerana kita berjaya mengekalkan kerajaan BN, bahkan dapat menambah satu lagi kerusi".

Beliau bagaimanapun berkata kegagalan rakan komponen BN, MCA untuk memenangi mana-mana kerusi Parlimen dan DUN, memberi petunjuk jelas dan membimbangkan bahawa masyarakat tidak menerima wakil MCA di kawasan-kawasan tertentu.

"Post mortem akan dijalankan bagi mengkaji punca dan penyebab yang menjurus kepada penolakan wakil-wakil MCA," katanya. Mohamad berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa kebajikan masyarakat Cina akan terus terjaga walaupun tiada wakil Cina dalam kerajaan negeri.

Mengulas mengenai dasar politik perkauman yang boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat, Mohamad berkata beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mencari formula menangani dasar-dasar atau sikap perkauman yang keterlaluan.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan kemenangannya di kerusi Parlimen Rembau sebagai kenangan yang amat manis kerana mendapat majoriti undi yang lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Umum 2008 lepas.

Beliau berkata peningkatan majoriti undi itu menggambarkan pengiktirafan pengundi di kawasan tersebut terhadap kerajaan BN yang telah banyak menabur jasa dan bakti.

"Saya amat terharu malam ini sebab majoriti Parlimen dan DUN meningkat berbanding 2008 dan yang paling manis sekali kejayaan BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi daripada PAS," katanya.

Khairy mempertahankan kerusi Parlimen Rembau apabila memperoleh 43,053 undi menewaskan calon PKR Radzali A. Ghani yang mendapat 24,696 undi dan calon bebas Abdul Aziz Hassan dengan 325 undi.

Sementara itu, di Jempol Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad yang mengalahkan calon PAS Wan Aishah Wan Ariffin, bersyukur dan berterima kasih kepada pengundi kerana memberikan kemenangan kepadanya.

Beliau berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, khususnya pengundi di kawasan itu, dan membela nasib semua kaum. -BERNAMA

Artikel Lain