suria

MCA Kekal Pendirian Tolak Jawatan Kabinet

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata parti itu akan menolak sebarang jawatan dalam kerajaan ekoran pencapain parti itu yang layu pada dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata keputusan tersebut telah dicapai dalam satu resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu sebelum ini.

Dalam resolusi berkenaan MCA memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan Kabinet sekiranya parti itu mencapai kurang daripada 15 kerusi Parlimen seperti yang diperoleh pada PRU 2008 lima tahun lalu.

Dr Chua berkata MCA akan berpegang kepada resolusi berkenaan.

"MCA akan menghormati keputusan pengundi dan sekiranya kami tidak mencatat prestasi lebih baik berbanding pada PRU lepas, kami tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

"Saya tidak boleh suka-suka kata boleh terima sebarang jawatan (Kabinet) kerana kita perlu mengadakan satu lagi EGM sekiranya kita mahu membatalkan resolusi tersebut ," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Umno awal pagi Isnin

Dr Chua turut menyatakan kekecewaannya terhadap orang Cina yang dilihatnya ingin menukar kerajaan dengan undi masyarakat Cina semata-mata.

Menyifatkan keputusan PRU-13 sebagai sangat mengecewakan, Dr Chua berkata sokongan orang Cina terhadap BN sangat berkurangan.

"Orang Cina yakin dengan undi masyarakat Cina mereka boleh ubah kerajaan. Ia akan mencatatkan peningkatan di mana semua kaum mempunyai wakil mereka apabila kerajaan pusat baru ditubuhkan kecuali oranng Cina.

"Sebagai contoh Umno telah memperkuatkan kedudukan mereka apabila lebih banyak calon mereka menang dan menjadi wakil rakyat di Parlimen. Mereka menang besar.

"DAP juga tidak terkecuali, mereka menang besar. Sistem dua parti di negara ini telah menjadi sistem parti dua bangsa dengan orang Cina menyokong pembangkang sepenuhnya manakala orang Melayu masih bersama Umno," katanya.

"Orang Cina tidak boleh mengubah kerajaan tanpa sokongan daripada orang Melayu dan India. Keputusan ini sering disalahertikan oleh DAP," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata MCA tetap menghormati keputusan pengundi pada PRU-13.

MCA hanya berjaya memenangi tujuh daripada 39 kerusi Parimen dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang mereka tandingin pada PRU kali ini.

Pada PRU 2008 keputusan yang dicatatkan lebih baik apabila parti itu memperoleh 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi negeri yang dimenanginya pada PRU 2008.

Kerusi parlimen yang dimenanginya ialah Tanjong Malim di Perak, Bentong di Pahang dan Alor Gajah di Melaka, manakala di Johor, ia hanya dapat mengekalkan empat kerusi berbanding tujuh pada 2008. Kerusi berkenaan ialah Labis, Ayer Itam, Tebrau dan Tanjung Piai.

Sebelas kerusi negeri yang dimenanginya ialah Titi Tinggi di Perlis, Gurun dan Kulim di Kedah, Chenderiang di Perak, Damak dan Cheka di Pahang, Machap, Klebang dan Bemban di Melaka serta Paloh dan Pulai Sebatang di Johor.

MCA kalah kesemua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, yang menunjukkan kegagalannya menawan kembali hati masyarakat Cina, walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan untuk memulihkan kekuatannya 2008.

Parti komponen Barisan Nasional (BN) ini hanya mampu mengekalkan satu kerusi di Perak (Chenderiang) dan hilang kubu kuatnya, Indera Kayangan di Perlis, kepada PKR.

Barangkali, satu-satunya perkara yang menjadi pengubat hati bagi parti ini ialah kejayaannya merampas kembali kerusi dewan undangan negeri Kulim daripada PKR.

Kecederaan paling parah yang dialami MCA pada PRU13 ialah kekalahan setiausaha agungnya Datuk Seri Kong Cho Ha dan naib presidennya Datuk Seri Chor Chee Heung di kerusi parlimen Lumut dan Alor Setar yang mereka sandang sebelum ini.

Bagaimanapun, timbalan presiden parti itu Datuk Seri Liow Tiong Lai berjaya mempertahankan kerusi parlimen Bentong di Pahang bagi penggal keempat apabila beliau mengalahkan calon DAP Wong Tack dengan majoriti 379 undi.

Artikel Lain