suria

Kabinet Baru Sabah Dibentuk Beberapa Hari Lagi - Musa Aman

KOTA KINABALU: Kabinet baharu kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) akan dibentuk dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa, yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada jam 5.10 petang Isnin, berkata beliau tidak menolak kemungkinan kabinet negeri itu dibarisi oleh beberapa muka baharu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN negeri itu tidak menolak andaian memilih semula bekas menteri yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad.

Sambil mengulangi penghargaan kepada rakyat Sabah kerana masih memberi kepercayaan kepada BN, Musa menyifatkan kemenangan itu adalah kemenangan bersama rakyat dan juga jentera parti.

"Saya berjanji akan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dengan bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan lebih banyak kehendak rakyat dapat direalisasikan dan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Ketua Menteri Sri Gaya di sini, Isnin.

Beliau juga optimis bahawa kerjasama yang terjalin dengan kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan kekal terjalin, meskipun berlaku beberapa kejutan pada keputusan PRU-13.

Musa, yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga dengan majoriti 11,569 undi, percaya kejayaan BN membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada PRU-13 membuktikan Sabah masih menjadi simpanan tetap parti itu.

Mengulas mengenai kegagalan BN di beberapa kawasan yang majoriti penduduk Cina dan Kadazandusun, Musa berkata pihaknya akan mengkaji mengapa perkara itu boleh berlaku agar dapat diperbaiki pada pilihan raya akan datang.

BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi DUN.

Bagaimanapun, BN Sabah kali ini kehilangan 12 kerusi DUN berbanding tiga pada PRU 2008.

Sementara PKR berjaya menembusi tujuh kawasan DUN iaitu Api-api, Moyog, Kadamaian, Matunggong, Tamparuli, Klias dan Inanam.

DAP pula yang sebelum ini memiliki satu kerusi DUN, menambah empat kerusi iaitu Luyang, Kapayan, Sri Tanjong dan Likas.

Parti Reformasi Sabah (STAR) pula menang kerusi tunggal di Bingkor. - BERNAMA

Artikel Lain