suria

BN Kekal Perintah Melaka Dengan Majoriti Dua Pertiga

MELAKA: Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Melaka apabila memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

BN memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berkurangan dua kerusi berbanding jumlah yang dimenangi pada PRU ke-12. Melaka mempunyai 28 kerusi DU Ndan enam Parlimen.

Kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap, Durian Tunggal, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Ayer Molek, Telok Mas, Bemban, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

BN turut mempertahan empat kerusi Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Jasin.

Kejayaan BN itu bagaimanapun dikejutkan dengan berita kekalahan Pengerusi B Nnegeri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang juga Ketua Menteri Melaka kepada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin di Parlimen Bukit Katil dengan majoriti 5,447 undi.

Kerusi itu merupakan satu-satunya yang dimenangi PKR di negeri ini.

Sementara itu, calon DAP bagi DUN Duyong Goh Leong San, yang juga Pengerusi DAP Melaka, menewaskan Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo dengan majoriti 205 undi sekali gus menambah satu lagi kerusi untuk pembangkang selain mempertahan Banda Hilir, Kesidang, Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bachang.

Parti itu juga mempertahan Parlimen Kota Melaka apabila Sim Tong Him menewaskan calon BN Dr Yee Kok Wah dengan majoriti 11,390 undi.

Sim, yang bertanding sebagai calon BEBAS di DUN Kota Laksamana, bagaimanapun hilang wang pertaruhan selepas memperoleh 1,242 undi berbanding calon DAP Lai Keun Ban (11,969 undi) dan calon BN Datuk Chiw Tiang Chai (3,462 undi).

PAS berjaya merampas satu kerusi iaitu DUN Bukit Baru apabila Dr Md Khalid Kassim menewaskan calon BN Karim Yaacob dengan majoriti 48 undi.

Calon parti KITA S.Ravinther, yang bertanding di kerusi DUN Machap menentang calon BN Datuk Lai Meng Chong dan Ginie Lim Siew Lin (PKR), hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 61 undi. Kerusi DUN berkenaan dimenangi Lai dengan majoriti 152 undi.

Calon BEBAS Abdullah Sani Rejab, yang bertanding di DUN Gadek, turut hilang wang pertaruhan selepas memperoleh 692 undi.

Calon BN Datuk M.S. Mahadevan menang dengan majoriti 2,630 undi. - BERNAMA

Artikel Lain