suria

Benarkah Pengundi Cina Tolak Amalan Kesederhanaan 'Cara Johor'?

JOHOR BAHARU: Rakyat Johor telah pun bersuara dan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di negeri ini semalam, secara umumnya boleh dirumus bahawa pengundi Johor terutamanya kaum Cina kali ini memilih untuk menolak 'Cara Johor'.

'Cara Johor', amalan kesederhanaan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk budaya politik telah ditolak, dan sesetengah penganalisis berpendapat, sebahagian pengundi memilih amalan politik yang menyemai semangat perkauman, kebencian, persepsi dan emosional.

Johor yang selama ini merupakan negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) menerima pukulan hebat apabila tewas di lima kerusi Parlimen dan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kekalahan terbesarnya dalam sejarah pilihan raya.

Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor selama 18 tahun dan tonggak kepada amalan 'Cara Johor' tewas di tangan penasihat DAP Lim Kit Siang dalam perebutan kerusi Parlimen Gelang Patah dengan majoriti besar 14,762 undi.

Selain kerusi Parlimen Gelang Patah, BN juga tewas di Parlimen Kulai, Kluang, Bakri dan Batu Pahat.

Pada pilihan raya umum 2008, BN Johor hanya tewas satu kerusi Parlimen.

Bagi kerusi DUN, BN tewas di Yong Peng, Mengkibol, Jementah, Bekok, Tangkak, Bentayan, Sungai Abong, Maharani, Parit Yaani, Penggaram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Stulang, Pengkalan Rinting, Skudai, Bukit Batu dan Senai.

BN tewas di kerusi yang majoritinya adalah pengundi Cina dan ini menimbulkan persoalan sama ada pengundi Cina di Johor menolak konsep kesederhanaan 'Cara Johor' dan memilih fahaman ekstremis perkauman DAP.

Keputusan semalam menunjukkan rekod cemerlang Abdul Ghani membangunkan Johor selama 18 tahun dengan amalan kesederhanaan dalam pelbagai segi pentadbiran dan hubungan kaum tidak diambil kira oleh pengundi Cina di Johor.

Abdul Ghani yang ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa lewat malam semalam, berkata pengundi di Johor telah mengundi berdasarkan pertimbangan emosi mereka.

Undian yang bertunjangkan perasaan emosi, katanya, merupakan sebab utama di sebalik kekalahan BN Johor di lima kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN.

"Mengundi dengan keadaan emosi itu telah menyebabkan berlakunya polarisasi di kawasan-kawasan bandar. Polarisasi telah muncul di Johor khasnya di kawasan bandar dan pekan yang digambar melalui keputusan PRU13 ini," katanya.

Beliau berkata sesetengah pihak berjaya memprovokasi pengundi melalui sentimen di sebalik isu nasional yang mereka mainkan.

Bagaimanapun beliau masih percaya kepada 'Cara Johor' yang mengamalkan kesederhanaan, antaranya dalam politik.

Ketua Penerangan BN Johor Datuk Samsolbari Jamali pula berkata keputusan di Johor semalam menunjukkan konsep kesederhanaan 'Cara Johor' dan kongsi kuasa antara pelbagai kaum diancam oleh fahaman ekstremis.

"Keputusan semalam di Johor yang menyaksikan DAP memenangi kerusi di kawasan pengundi Cina menunjukkan fahaman ekremisme mula meresapi pemikiran masyarakat di Johor, ini amat bahaya untuk negeri dan Malaysia," katanya.

Samsolbari yang memenangi kerusi DUN Semarang berkata jika fahaman ekstremis itu dibiarkan berleluasa, ia akan 'memakan' konsep kesederhanaan 'Cara Johor' yang menjadi amalan masyarakat pelbagai kaum di Johor sejak sekian lama.

Bagaimanapun, katanya, amat berbahaya kepada masa depan Johor dan Malaysia jika fahaman ekstremis satu pihak ini ditentang dengan fahaman ekstremis oleh pihak yang lain.

Setiausaha Perhubungan MIC Negeri Johor M.Asojan pula berkata keputusan di Johor semalam menunjukkan sebahagian pengundi di negeri ini memilih calon pilihan mereka berdasarkan kaum.

"Keputusan semalam itu jelas menunjukkan pengundi Cina di Johor mengundi berdasarkan sentimen perkauman berikutan kempen-kempen yang berbaur perkauman oleh DAP. Trend ini amat berbahaya untuk Johor dan Malaysia," katanya.

Beliau yang merupakan bekas exco perpaduan masyarakat negeri Johor pada penggal yang lepas berkata keputusan semalam amat mengecewakannya terutama dalam hubungan kaum di Johor.

Asojan berkata ramai kenalannya di kalangan masyarakat Cina meminta maaf berhubung keputusan semalam, di mana mereka menyatakan ini disebabkan pengundi yang kebanyakannya bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur, mengundi calon DAP. -BERNAMA

Artikel Lain