suria

Annuar Musa Sedia Lepas Jawatan Penasihat Kafa, Tumpu Tugas Anggota Parlimen

KOTA BARU: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa bersedia melepaskan jawatannya untuk menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai anggota Parlimen Ketereh.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat, masa dan komitmen harus diperuntukkan sepenuhnya bagi melaksanakan tanggungjawab serta amanah rakyat.

"Kita tahu bola (sepak) hanya kerja NGO dan ia hanya komitmen saya kepada aktiviti belia. Sekiranya kita sudah ada orang yang boleh menyambung apa yang saya lakukan, saya fikir baik saya pertimbangkan supaya urusan bola (sepak) dapat diganti dengan orang lain," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Pada pilihan raya umum ke-13 Ahad, Annuar menewaskan calon PKR Ab Aziz Ab Kadir dengan majoriti 974 undi.

Annuar memperoleh 26,912 undi manakala Ab Aziz mendapat 25,938 undi.

Annuar berkata pengurusan Kafa di bawah TheRedWarriors.com adalah sebagai persiapan untuk menjadikan bola sepak Kelantan lebih profesional berbanding dahulu.

Beliau turut memberi jaminan untuk terus membantu meningkatkan mutu bola sepak Kelantan meskipun tidak memegang jawatan presiden bagi memastikan kekuatan The Red Warriors diteruskan tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain