suria

Polis Sahkan Wujud Aktiviti Berkempen Selepas Tamat Tempoh

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan terdapat perarakan dan aktiviti berkempen di hadapan Dataran Merdeka oleh sekumpulan penyokong parti selepas tamat tempoh awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam satu kenyataan berkata pada pukul 2.30 pagi sekitar 1,000 hingga 1,500 penyokong bermotosikal berkumpul di Dataran Merdeka dan menuju ke Kampung Baru.

"Empat laporan polis telah dibuat ekoran kejadian tersebut dan pihak polis juga menerima aduan daripada pengguna jalan raya mengenai perkara itu kerana ia menimbulkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata keadaan di sekitar Dataran Merdeka kembali terkawal dan penyokong beredar pada pukul 4.15 pagi.

Beliau mengingatkan penyokong parti supaya tidak melakukan provokasi jalanan sehingga boleh menimbulkan ketakutan kepada pengundi dan orang ramai.

Polis sentiasa memantau keadaan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan meminta pengundi tidak berasa ragu-ragu terhadap keselamatan mereka kerana keadaan adalah selamat, katanya.

Mohmad berkata tindakan tegas akan diambil jika terdapat penyokong parti yang bertanding berkumpul di lokasi tertentu sehingga boleh menimbulkan kekecohan.

Tindakan undang-undang akan diambil kepada semua pihak yang didapati cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam samada semasa atau selepas proses pengundian berjalan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain