suria

Polis Pantau Akaun Facebook Kaitkan Polis Dengan Pengundi Hantu - KPN

KUALA LUMPUR: Polis sedang memantau satu akaun laman sosial Facebook (FB) yang didapati mengaitkan Polis Diraja Malaysia dengan isu pengundi 'hantu'.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata perkara itu adalah satu pembohongan. "Polis sedang memantau satu 'posting' daripada akaun FB tersebut...," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Ahad.

Menurut Ismail, catatan pada akaun itu mendakwa polis terlibat membawa masuk pengundi 'hantu'.

Beliau turut memberi amaran kepada pihak tertentu yang cuba mencetuskan huru-hara dengan menyebarkan berita palsu melalui laman sosial khususnya berkaitan kewujudan pengundi 'hantu'.

Ismail tidak menolak kemungkinan perkara itu merupakan taktik kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Kumpulan 505' untuk menarik orang ramai menyertai perhimpunan yang dikatakan dirancang diadakan hari ini atau esok di Putrajaya. Dalam perkembangan lain, Ismail mengingatkan penunggang motosikal yang membawa bendera parti agar tidak melakukan provokasi mengelilingi satu-satu kawasan dengan sengaja.

"Perbuatan mereka boleh membangkitkan kemarahan orang ramai," katanya sambil menambah semua pihak mesti mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi menjaga keamanan negara. -BERNAMA

Artikel Lain