suria

Muhyiddin Dan Isteri Mengundi Di SMK Sri Muar

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar, Jalan Meriam, di sini.

Muhyiddin yang berbaju batik berwarna biru tiba di sekolah itu pada pukul 8.10 pagi dan menjadi antara orang terawal keluar mengundi sejurus pusat pengundian itu dibuka 8 pagi.

Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh diiringi isteri Puan Seri Noorainee Abd Rahman yang turut mengundi di sekolah itu.

Kedua-duanya menyelesaikan proses mengundi itu pada 8.20 pagi dan meluangkan masa bagi para jurugambar merakamkan gambar sambil menunjukkan jari mereka yang telah dicalit dakwat kekal.

Pilihan raya umum hari ini menyaksikan Timbalan Perdana Menteri sekali lagi ditentang pencabar yang sama pada pilihan raya umum 2008 iaitu calon PAS Mohamad Rozali Jamil yang ditewaskan beliau dengan majoriti 12,581 undi. - BERNAMA

Artikel Lain