suria

Jangan Berkumpul di Luar Pusat Mengundi Selepas Pukul 5 Petang - Polis Selangor

SHAH ALAM: Polis Selangor memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berhimpun di luar pusat pengundian selepas tempoh mengundi tamat pada pukul 5 petang ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Selangor ACP Hasanuddin Hassan berkata perkara itu bagi memudahkan urusan penghantaran peti undi ke tempat penjumlahan undi yang telah ditetapkan.

"Kita tidak mahu mereka berkumpul sehingga akhirnya boleh mencetuskan suasana yang tidak diingini," katanya kepada pemberita, di sini.

Hasanuddin berkata mereka yang enggan mematuhi arahan itu boleh ditahan di bawah Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana melakukan perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Mengulas perjalanan pengundian di negeri itu, Hasanuddin berkata setakat tengah hari ini polis tidak menerima laporan berkaitan kekecohan atau kewujudan pengundi hantu. "Sebaliknya kita telah menerima lapan laporan melibatkan dakwat kekal yang hilang selepas dicuci setakat pukul 12.30 tengah hari tadi," katanya menambah tiga laporan masing-masing di Hulu Selangor dan Gombak, manakala dua lagi di Serdang.

Laporan itu akan diserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tindakan lanjut, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain