suria

BN Yakin Dapat Pertahan Perak Pada PRU-13 - Zahid

BAGAN DATOH: Barisan Nasional yakin dapat mempertahankan Perak pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya keyakinan itu berdasarkan kepada maklum balas yang diperoleh daripada kajian agensi dan laporan politik.

"Daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 31 dikategorikan sebagai kawasan putih yang memihak kepada BN," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra bersama rakyat di perkampungan nelayan Bagan Pasir Laut di sini Sabtu.

Ahmad Zahid yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datoh berkata berdasarkan kepada suasana sokongan rakyat, BN mempunyai harapan yang cerah untuk membentuk kerajaan di negeri ini.

"Namun kita masih berusaha untuk memperoleh lebih daripada 31 kerusi bagi mendapatkan suara yang mutlak untuk pembentukan kerajaan negeri dengan majoriti yang selesa," katanya.

Mengenai dua kerusi DUN di bawah Parlimen Bagan Datoh, Ahmad Zahid yakin pengundi akan memberikan undi sepenuhnya kepada BN kerana kedua-dua calon BN merupakan anak tempatan.

Parlimen Bagan Datoh mempunyai dua DUN iaitu Rungkup dan Hutan Melintang yang masing-masing dimenangi calon BN dan PKR pada pilihan raya umum lepas. - BERNAMA

Artikel Lain