suria

Sokongan Padu Terhadap BN Amat Penting Pastikan Malaysia Di Landasan Betul - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan rakyat Malaysia terhadap Barisan Nasional (BN) amat penting untuk memastikan negara ini terus berada di landasan pembangunan dan meneruskan perjalanannya ke arah melaksanakan transformasi secara menyeluruh.

"PRU kali ini perlulah ditentukan bersandarkan menepati janji, mendukung harapan dan kebolehpercayaan. Tidak sepatutnya wujud ruang untuk mereka yang menabur janji kosong dan akhirnya tidak mampu ditunaikan, gemar menyebar fitnah, memanipulasi fakta serta meraih sokongan berasaskan kebencian serta perpecahan," kata perdana menteri dan pengerusi BN itu dalam surat terbuka kepada rakyat Malaysia yang akan mengundi pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini.

"Saya merayu kepada tuan-tuan dan puan-puan supaya meneliti, mendengar dan berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan tentang masa depan negara ini," kata beliau.

Lebih 13 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Najib berkata rakyat Malaysia perlu ingat bahawa akhirnya, keputusan yang mereka buat dan siapa yang mereka sokong, akan menjadi penentu terhadap masa depan negara ini. Katanya yang menang dan kalah pada pilihan raya umum ini sebenarnya bukan B Natau Pakatan Rakyat, tetapi Malaysia, rakyatnya dan anak cucu mereka.

"Undi tuan-tuan dan puan-puan sewajarnya merupakan untuk Malaysia yang maju dan progresif. Malaysia yang menuju ke arah transformasi politik, ekonomi dan sosial.

"Malaysia di mana kita semua dapat hidup dengan bangga dan bermaruah di bawah payung falsafah 1Malaysia," katanya.

Najib berkata setelah melalui tempoh selama empat tahun yang cukup mencabar, kini tibalah masanya bagi 13 juta rakyat Malaysia membuat keputusan mengenai lorong yang akan Malaysia lalui selama lima tahun akan datang.

"Sebagai parti pemerintah, kami (BN) tidak mempunyai kebebasan untuk bertindak sebagai ahli politik sepenuh masa. Dalam suasana politik yang dipenuhi segala keriuhannya, kerajaan BN perlu terus mentadbir negara dan memastikan Malaysia serta rakyatnya terus menikmati pembangunan," katanya.

Najib berkata walaupun terpaksa memikul tugas berat, beliau gembira dan berbangga kerana Malaysia terus berada di landasan pembangunan dan transformasinya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sanggup berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang berlaku di negara ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sanggup bersama kami dan sudi berdepan dengan pelbagai mesej dan rayuan yang dikirim kepada anda semua," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain