suria

Wakil Calon DAP Mengaku Tidak Bersalah Kunci Dua Peti Undi

KAJANG: Seorang wakil kepada calon DAP bagi kerusi parlimen Serdang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Jumaat atas pertuduhan mengunci dua peti undi selepas proses pengundian awal Selasa lepas.

Susan Lee Pek Sim, 54, didakwa tanpa kuasa yang sepatutnya telah mengunci dua peti undi itu dengan mangga kuncinya sendiri di Dewan Markas Tentera 21, Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) Kajang Utama, Kajang dekat sini, pada 7.15 malam, 30 April lalu.

Perunding hartanah itu didakwa mengikut Seksyen 3(1)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Hazwani Omar menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh, namun peguam New Sin Yew yang mewakili Lee memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000.

Majistret Abdul Jalil Salam Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun ini untuk sebutan kes.

Pada PRU-13 Ahad ini, kawasan parlimen Serdang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon DAP, Dr Ong Kian Ming dan Datuk Yap Pian Hon daripada Barisan Nasional. - BERNAMA

Artikel Lain