Tempoh Berkempen PRU-13 Tamat 11.59 Malam Esok - SPR - Semasa | mStar

Tempoh Berkempen PRU-13 Tamat 11.59 Malam Esok - SPR

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengingatkan semua parti politik bahawa tempoh berkempen pilihan raya umum ke-13, yang bermula 20 April lepas, akan tamat pada 11.59 malam Sabtu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata selepas tempoh itu, tiada aktiviti berkempen dibenarkan langsung terutamanya pada hari mengundi.

Pada Ahad ini, katanya SPR akan menguatkuasakan subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melarang diadakan, memanggil atau mengaturkan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan atau memberi ucapan terbuka.

Akta itu juga melarang membekalkan apa-apa alat pembesar suara bagi maksud politik serta melarang membuka pejabat atau barung di dalam bahagian pilihan raya, katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini.

"Dalam jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi, adalah dilarang menentukan identiti mana-mana orang yang memasuki sesuatu tempat mengundi, menyemak dalam senarai nama, merayu-rayu atau memujuk supaya orang tidak mengundi serta menunggu atau berdiri di tempat mengundi (tanpa sebab munasabah)," katanya.

Abdul Aziz berkata pada hari itu juga, SPR melarang mana-mana calon atau penyokongnya merayu undi di dalam bahagian pilihan raya dan dalam jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi atau dalam tempat mengundi memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan atau payung yang tertera nama calon, lambang dan simbol parti politik.

Bagi kesemua kesalahan itu, katanya pesalah boleh dipenjarakan sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, rumah persendirian yang berada dalam lingkungan jarak 50 meter dari sempadan pusat mengundi juga tidak dibenarkan untuk dijadikan tempat berkumpul dan meraih undi.

"Pejabat parti dalam kawasan 50 meter (sedia ada) dibenarkan beroperasi tetapi tidak boleh digunakan sebagai tempat meraih undi," katanya.

Abdul Aziz turut mengingatkan pelbagai pihak supaya tidak menjual, menawar atau membeli kertas undi dan mereka yang berbuat demikian, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka yang disabitkan juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga lima tahun dari tarikh sabitan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

Artikel Lain

Nelayan temui duit dalam perut ikan

Messi gantung but 2021?