suria

SPR Melaka Nafi Petugasnya Kira Kertas Undi Awal

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka pada Jumaat menafikan dakwaan wakil ejen PKR bahawa petugasnya mengira kertas undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada 30 April lepas.

Pengarahnya Haelmy Mohd Hanifah berkata wakil ejen itu yang datang bagi melihat proses penyimpanan peti undi awal di lokap IPD berkenaan telah tersilap faham dengan tugas yang dilakukan beberapa petugas SPR di lokasi tersebut.

Beliau berkata petugas SPR berkenaan sedang melakukan semakan terakhir kertas undi biasa untuk memastikan ketepatan nama calon dan parti yang dicetak bagi proses pengundian Ahad ini.

"Wakil ejen berkenaan salah faham, ingat petugas SPR sedang mengira kertas undi awal padahal mereka sebenarnya sedang membuat semakan kertas undi biasa," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan polis yang dibuat seorang wakil ejen PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Balai Polis Lubok China berhubung perkara itu.

Haelmy berkata kertas undi awal akan mula dikira seawal 4 petang Ahad ini manakala undi biasa dan undi pos akan dikira pada 5 petang. - BERNAMA

Artikel Lain