suria

Semangat Gelombang Biru Tolak Dakwaan Pakatan Rakyat Menang

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semangat gelombang biru, yang dilancar Barisan Nasional (BN) beberapa bulan lepas, dilihat mula menyerap masuk ke jiwa ramai pengundi sekali gus menolak dakwaan pakatan rakyat yang kononnya mereka sudah menang.

Beliau berkata ini dapat dilihat menerusi lawatannya ke seluruh negara meskipun pakatan rakyat tidak habis-habis menyebarkan dakyah dan fitnah terhadap BN menjelang saat-saat terakhir kempen pilihan raya umum kali ini.

"Saya memberi gambaran ini kerana beberapa jam dan hari yang lepas, ramai orang memberitahu pada saya, mereka terima banyak SMS yang datang dari puak-puak sana, yang kononnya sudah isytiharkan mereka sudah menang," katanya ketika berucap pada sesi ramah mesra dengan pengundi Parlimen Batu di sini.

Muhyiddin, yang baharu pulang dari Kelantan, berkata pada setiap majlis di negeri itu, tidak kurang 7 hingga 20,000 orang yang sudah begitu bersemangat tinggi diserap gelombang merah, iaitu khas untuk Kelantan.

"(Dan) saya lihat (insya-Allah), Kelantan akan tumbang dan BN akan menang," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Wilayah Persekutuan, turut membidas dakwaan pakatan rakyat kononnya BN akan membawa masuk 70,000 orang untuk mengundi di Johor dan Selangor, serta berpuluh ribu rakyat Bangladesh akan mengundi pada Ahad ini.

"Sebenarnya, kalau kita lihat situasi dan keadaan, pilihan raya kali ini adalah cukup mencabar dan amat getir pada kita BN kerana kita sedar ancaman yang dibawa pihak pakatan rakyat.

"Mereka telahpun menyebarkan pelbagai dakyah bukan dakwah, fitnah dan bidaah kepada pemimpin dan parti dalam BN. Mereka buat pelbagai tuduhan kepada Perdana Menteri dan saya sendiri, oleh sebab mereka berpendapat kali ini mereka sudah dapat mempengaruhi pengundi di seluruh negara untuk menyokong mereka dan menumbangkan kerajaan BN," katanya.

Beliau berkata sepanjang 39 tahun dalam politik, ini adalah kempen terburuk pernah dilihat daripada pihak pembangkang.

Timbalan Presiden Umno itu turut menyelar tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menghasut rakyat mencontohi Arab Spring bagi menjatuhkan BN.

"Bila selesai pilihan raya 5 Mei, bila BN menang, mereka harus mengakui BN sudah menang, dan bila SPR umum, maka mereka harus mengakuinya. Jangan persoal, dan ingat, jangan pergi atas jalan raya buat demonstrasi. Kita cabar dia, dan lihat apa akan terjadi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain