suria

PR Belot Kerana Mahu Hapus Hak Istimewa Orang Melayu - Muhyiddin

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangkang belot kepada perjuangan Melayu kerana berhasrat menghapuskan hak istimewa kaum itu dan Bumiputera jika berkuasa kelak.

Beliau menegaskan hak itu diwujudkan kerana hendak membantu memajukan orang Melayu yang masih belum dicapai 100 peratus.

"Kita masih memerlukan sokongan. Kalau tiada pertimbangan seperti ini, orang Melayu akan tertinggal jauh dan bila itu berlaku tidak akan ada keseimbangan. Sebab itu perlu tongkat ini selagi belum boleh berdiri sendiri.

"Hak-hak istimewa telah disebut dalam Perlembagaan. Tetapi hari ini ada juga orang Melayu yang belot kepada perjuangan Melayu. Siapa dia? Pakatan Rakyat," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Tengah, Paya Redan di sini, Jumaat.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pada Rabu bahawa pembangkang akan menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera termasuk pemberian kontrak kepada kontraktor Bumiputera kerana mendakwa tindakan itu perlu bagi membantu ekonomi golongan itu yang sudah ketinggalan.

Justeru, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berharap rakyat dapat membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya umum Ahad ini agar hak keistimewaan yang sedia ada dapat dipertahankan.

"Kalau kita hendak cuba bagi kerajaan bukan BN mentadbir negara, adakah kita yakin mereka mampu mempertahan kedudukan kita, agama kita, hak keistimewaan kita, bahasa kita dan sebagainya," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Lain