suria

Percanggahan Pendapat Pemimpin Pakatan Boleh Jejaskan Pembangunan Johor

JOHOR BAHARU: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata percanggahan pendapat di kalangan pemimpin pakatan rakyat boleh membawa kepada kehancuran dan ketidakstabilan di negeri ini yang akan menyebabkan pembangunan di Johor terjejas.

Sambil mengingatkan rakyat Johor supaya berfikir secara mendalam mengenai perkara itu, beliau berkata pemimpin pakatan rakyat saling bercanggah pendapat antara lainnya berkaitan hukum hudud dan pertandingan sesama sendiri calon-calon mereka di tujuh kawasan.

"Kalau itu orang tak fikir dalam penghujung dua tiga hari ini dan terikut-ikut, bila berlaku nanti saya takut orang Johor ralat kerana tak berfikir lebih mendalam dan jauh ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas program perhimpunan perpaduan rakyat di taman Sutera di sini, Jumaat.

Hishammuddin berkata, pakatan pembangkang tergamak menyatakan apa sahaja untuk memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional semata-mata politik demi mencapai kedudukan dan jawatan.

"Bila dicampuradukkan dengan isu kaum, agama..maka jadilah politik yang tidak membina yang asing kepada kita dan akhirnya memporak-perandakan kita di Johor," katanya. Beliau berkata cara Johor yang sentiasa mengamalkan bersederhanaan harus dikekalkan demi kestabilan politik dan keamanan di kalangan pelbagai kaum di negeri ini.

Mengenai ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Hishammuddin berkata Anwar perlu membersihkan namanya terlebih dahulu terutamanya berkaitan isu beliau dengan Saiful Bukhari Azlan.

"Kalau betul dia jujur dan ikhlas, dia kena bersihkan nama dia," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar yang juga calon BN bagi parlimen Gelang Patah Datuk Abdul Ghani Othman, serta calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar dan calon DUN Skudai Liang Ah Chy. -BERNAMA

Artikel Lain