suria

Pengundi Jangan Takut Dengan Bendera-bendera Kecil Yang Ditanam Pembangkang - TPM

PAGOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan agar orang ramai tidak perlu bimbang dengan kemunculan bendera-bendera kecil berwarna-warni yang didakwa sebagai tanda pembangkang akan melakukan demonstrasi jika mereka kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa akan mempertingkatkan tahap keselamatan pengundi sepanjang proses pembuangan undi dijalankan.

"Saya tidak tahu untuk apa bendera-bendera kecil itu dipacakkan dibeberapa tempat, saya harap ia hanya bertujuan untuk mencantikkan kawasan.

"Saya harap pembangkang menafikan perkara ini bertujuan untuk melakukan demonstrasi jika mereka kalah kerana jika benar ia adalah perkara yang serius," ujarnya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci Rumah Rakyat 1Malaysia, di Kampung Renchong, di sini, Jumaat.

Turut hadir Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewan, Pengarah Jentera Pilihan raya Pagoh, Datuk Tahir Mohd Taat dan Calon DUN Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Sejak minggu lalu, muncul bendera-bendera kecil yang berwarna-warni ditanam di beberapa lokasi di Kuala Lumpur yang didakwa sebagai tempat berkumpul jika pembangkang tewas teruk dalam PRU-13.

Muhyiddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh menganggap perkara tersebut bukan amalan dan budaya masyarakat di negara ini.

"Waktu BN kalah beberapa negeri dulu, kita tidak pernah timbulkan kekacauan dan huru-hara, perkara ini bukan amalan kita.

"Saya yakin pemimpin pembangkang sudah membaca situasi yang akan berlaku, mereka juga seolah-olah takut dan sudah membuat andaian bahawa mereka akan kalah," jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menginggatkan jentera-jentera BN agar teruskan melipatgandakan kempen yang berbaki tidak sampai 48 jam sahaja lagi.

"Kita nasihatkan jentera jangan terlalu yakin dan leka dengan kemenangan yang akan kita perolehi, sebaliknya perlu melipatgandakan lagi usaha sehingga kita benar-benar mencapai kejayaan," katanya.

Artikel Lain